Selasa, 29 November 2011

Pikat 500 usahawan

PERDASAMA Muda Malaysia (Perdasama Muda) mengunjurkan untuk menarik sekurang-kurangnya 500 usahawan muda berkecimpung dalam perniagaan francais menerusi program Jelajah Francais 1Malaysia yang dianjurkannya dengan memberikan tumpuan kepada perniagaan francais mikro membabitkan pelaburan RM50,000 ke bawah.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sejak siri pertama dijalankan di Muar, Johor pada 9 Oktober lalu, seramai 2,500 peserta menghadiri program berkenaan.


“Ketika ini, lebih 50 peserta membuat permohonan dan kami yakin jumlahnya akan meningkat kepada 500 apabila siri jelajah ke 13 negeri selesai nanti.

“Peserta yang berminat boleh mendapat pembiayaan daripada PNS (Perbadanan Nasional Bhd) yang menyediakan bantuan kewangan pada kadar faedah lebih rendah berbanding institusi kewangan,” katanya kepada Bisnes Metro selepas majlis perasmian Jelajah Francais 1Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.


Majlis itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Kuala Lumpur menjadi lokasi keempat siri jelajah itu selepas Muar, Johor; Selangor, Manjung (Perak) dan Seberang Prai (Pulau Pinang).


Sohaimi berkata, bidang perniagaan francais boleh menjadi landasan sesuai untuk orang ramai yang berminat memulakan perniagaan berikutan ia mempunyai prosedur operasi selaras (SOP) yang perlu diikuti setiap peniaga.

“Ramai yang berjumpa saya dan menyatakan hasrat untuk memulakan perniagaan, tetapi masalahnya tak tahu perniagaan apa nak mula. Maka, saya cadangkan supaya mereka menceburi perniagaan francais kerana lebih berisiko rendah dan hanya mengikut SOP yang sudah ditetapkan,” katanya.

source hmetro